Peningkatan penggunaan komputer di kalangan masyarakat samada untuk tujuan kerja, pembelajaran mahupun bagi tujuan- tujuan lain seperti permainan komputer, melayari internet atau pencarian maklumat telah menimbulkan kebimbangan akan tentang kesannya terhadap fungsi penglihatan secara khususnya, serta kesihatan umum secara amnya. Dianggarkan 25% hingga 93% pengguna komputer mengalami simptom-simptom yang dikaitkan dengan penggunaan komputer. Diantara simptom-simptom yang biasa dialami oleh pengguna komputer tegar ialah: Sengal-sengal mata (eyestrain), Kabur penglihatan, Mata kering (dry eyes), Ketidakselesaan penglihatan dan Sakit kepala. Simptom-simptom lain yang turut disebabkan oleh penggunaan komputer seperti sakit dibahagian tengkuk dan juga belakang badan (back and neck pain). Semua simptom-simptom ini boleh digolongkan sebagai tanda-tanda klasik bagi sindrom penglihatan penggunaan komputer (computer vision syndrome). Bagi mengatasi dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh pengguna komputer ini, peranan Optometris sebagai pengamal jagarawatan mata primer untuk penglihatan adalah amat penting. Antara cara – cara yang boleh dilakukan adalah seperti berikut. Pemeriksaan penglihatan khususnya oleh Optometris secara menyeluruh dan komprehensif mampu memberikan jalan penyelesaian bagi mereka yang menghadapi simptom-simptom yang berkaitan dengan penggunaan komputer. Pencahayaan adalah amat penting di dalam menentukan keselesaan penggunaan komputer. Pencahayaan yang sesuai dapat membolehkan pengguna komputer meningkatkan tahap keselesaan serta prestasi dan juga meminimumkan gangguan serta keletihan visual (visual fatigue). Penggunaan komputer yang berterusan untuk jangka masa yang lama didapati menyumbang kepada masalah-masalah yang berkaitan penglihatan. Turut menerima kesan terhadap penggunaan komputer yang berpanjangan ialah sistem lubrikasi okular di mana pengguna komputer akan kurang mengelipkan mata ketika penggunaan komputer menyebabkan air mata pra-kornea lebih cepat tersejat ke persekitaran. Bagi mereka yang mempunyai masalah penglihatan seperti miopia (rabun jauh), hiperopia (rabun dekat) dan juga presbiopia (lemah akomodasi akibat peningkatan umur), penggunaan komputer pada jangka waktu yang terlalu lama boleh mendatangkan masalah terhadap sistem penglihatan. Para pengguna komputer yang mengalami sindrom penglihatan komputer akan mengalami pelbagai masalah dan juga simptom, samada berkaitan penglihatan ataupun tidak. Adalah penting bagi optometris dan pakar penjagaan penglihatan menjalankan pemeriksaan yang terperinci khususnya dari segi keperluan dan kehendak pengguna komputer serta mengetahui simptom-simptom dan tanda-tanda yang berkaitan dengan penggunaan komputer.
